Search This Blog

Orang Anwar kuasai pemilihan PKR

0 comments


PEMILIHAN Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) boleh dikatakan sampai ke penghujungnya.
Biarpun masih ada 57 cabang yang akan bermesyuarat pada hujung minggu ini, namun kemenangan boleh dikatakan bukan sahaja sudah berada di dalam genggaman insan kesayangan Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Azmin Ali tetapi juga mereka yang dianggap 'pak turut' Ketua Umum PKR berkenaan.
Berdasarkan pengundian setakat ini, keputusan Datuk Zaid Ibrahim menarik diri bertanding jawatan Timbalan Presiden ternyata menguntungkan Azmin. Beliau mendapat laluan selesa sehingga jauh meninggalkan pencabar 'sekejab mahu bertanding sekejab tidak' iaitu Mustafa Kamil Ayub dengan majoriti besar 11,350 undi.
Walaupun pemilihan di peringkat cabang-cabang penuh dengan kontroversi termasuklah kerusi berterbangan, dakwaan penggunaan samseng dan penipuan kertas undi namun oleh kerana pengundian memihak kepada 'team Anwar' maka ia tetap diiktiraf oleh PKR.
Apa yang jelas selain Azmin, mereka yang dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan Anwar dan rela menjadi pengikut setia beliau turut akan diisytiharkan menang.
Paling ketara, PKR yang kononnya menentang keras nepotisme dan kronisme bakal memiliki seorang naib presiden yang merupakan anak kepada ketua umum mereka iaitu Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.
Nurul Izzah pada masa ini sedang mendahului pemilihan bagi merebut jawatan berkenaan dengan menerima 11,042 undi.
Tiga lagi kekosongan jawatan berkenaan turut akan diisi oleh mereka yang rapat dengan Anwar iaitu Pengarah Strategi PKR, Tian Chua yang cukup setia mengetuai demonstrasi, Pengarah Pilihan Raya parti, Fuziah Salleh dan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Dr.Mansor Othman.
Begitu juga sayap turut diisi orang Anwar iaitu Zuraida Kamaruddin bagi Ketua Wanita dan Shamsul Iskandar Md.Akin bagi Ketua Angkatan Muda Keadilan.
Berikutan keputusan awal ini adalah jelas hanya mereka yang sentiasa patuh kepada kehendak Anwar sahaja yang akan mencapai kemenangan. Mana-mana individu yang cuba membangkitkan sentimen supaya pemilihan dilakukan secara telus, tidak mahu Datin Seri Dr.Wan Azizah Wan Ismail hanya menjadi 'boneka' atau cuba menegur kerakusan politik yang diamalkan oleh Anwar dan konco-konconya, pasti akan tersingkir.
Kalaulah cara perjalanan pemilihan dikaji, ia membuktikan mereka yang tersingkir itu bukanlah melalui cara yang berhemah, sebaliknya melalui pelbagai manipulasi termasuklah pintu dewan mesyuarat dikunci.
Mungkin Azmin dan kesemua yang mencapai kemenangan itu boleh berbangga serta mendabik dada kepada dunia kononnya mereka menang melalui proses demokrasi.
Tetapi percayalah rakyat sudah bijak menilai dan mengetahui apa situasi sebenar dalam PKR. Tambahan pula kekalutan, kekecohan dan kekacauan yang berlaku ketika pemilihan di peringkat cabang sepatutnya menimbulkan rasa malu kepada orang-orang Anwar itu untuk mengangkat tangan tanda kemenangan.
Kalaulah benar mereka berani, telus dan bersikap demokratik sudah pasti mereka akan mendengar tuntutan banyak pihak termasuk Zaid supaya pemilihan dibatalkan dan diadakan semula.
Tetapi kepimpinan PKR hanya 'pekakkan telinga' terhadap keluhan, rayuan dan desakan ahli-ahli akar umbi. Dr.Wan Azizah seperti juga Anwar hanya pandai berjanji akan membuat itu dan ini, namun akhirnya ia hanyalah 'tin kosong'.
Apa yang beliau tahu lakukan ialah memberi peringatan supaya masalah dalaman PKR tidak didedahkan kepada umum.
Kesimpulan, Azmin dan rakan-rakannya boleh berdiri di atas pentas kerana menang tetapi ia tidak akan mampu menutupi gejolak di peringkat akar umbi serta realiti yang disaksikan oleh rakyat.
Percayalah, barisan yang menang tidak akan mampu membawa PKR ke mana-mana kerana mereka bukan sahaja tidak akan berani menyanggah Anwar yang dilihat cukup rakus dalam memburu kuasa tetapi juga mempunyai perangai yang sama dalam berpolitik iaitu berteraskan matlamat menghalalkan cara.

0 comments:

Post a Comment

Powered by Blogger.
2010 Penilai Sebuyau | Themes by raycreationsindia | Blogger Template by Blogger Template Place | supported by Blogger Tools