Search This Blog

PAS mainkan isu agama

0 comments

Pembangkang dari Semenanjung diingatkan agar tidak hancurkan perpaduan kaum di Sarawak dengan menggunakan ‘nama agama’
KUCHING: Parti pembangkang khususnya yang berpangkalan di Semenanjung Malaysia diingatkan agar tidak cuba menghancurkan perpaduan dan keharmonian kaum di Sarawak dengan menggunakan ‘nama agama’.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator T. Murugiah berkata Parti Islam Se-Malaysia (PAS) tidak sepatutnya cuba mencetuskan ketegangan antara pelbagai kaum dan suku kaum negeri ini menerusi agenda politik mereka sendiri.
Malah katanya, pemimpin PAS berhasrat untuk menimbulkan kekeruhan di kalangan kaum melalui sentimen agama semata-mata untuk kepentingan diri masing-masing.
“Janganlah hancurkan perpaduan kaum yang sedia terjalin di Sarawak menerusi nama-nama agama dan sebagainya.
“Mereka (pembangkang) diminta agar tidak mengeruhkan keadaan kerana kepentingan politik mereka sendiri. Fikirkan untuk kepentingan negara pada masa akan datang.
“Jadi, kita mesti memainkan peranan untuk menyatukan semua kaum di negara ini di bawah satu payung yang dikenali sebagai konsep 1Malaysia,” katanya dalam satu sidang media di Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Sarawak di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan PAS mengenai ‘kerusi Muslim’ wujud di Sarawak, dengan PAS telah membuat keputusan bertanding di semua ‘kerusi Muslim’ dalam pilihan raya akan datang.
Turut hadir dalam sidang media yang sama ialah Pengarah JPNIN Sarawak Rajali Mudin dan Penolong Pengarah JPIN Sarawak Delin Liet Blaun.
Pada masa yang sama, Murugiah berkata beliau sendiri amat terkejut apabila mengetahui PAS mempunyai hasrat untuk mengembangkan sayap mereka ke Sarawak dengan merebut ‘kerusi Muslim’ sebagaimana yang mereka sifatkan.
Katanya, dakwaan sedemikian oleh parti pembangkang seperti PAS boleh memburukkan negeri majmuk seperti Sarawak.
“Sarawak merupakan negeri terbaik dari segi perpaduan di Malayasia, jika saya diberi kuasa untuk menetapkan ranking mengenai indeks perpaduan di negara ini, saya akan memberi nombor satu kepada Sarawak.
“Maka itu, saya tidak mahu melihat reputasi yang amat baik ini dicemari politik kotor terutamanmya oleh pembangkang dari Semenanjung.
“Saya agak terkejut apabila terbaca dalam akhbar bahawa PAS mendakwa sudah mengenal pasti ‘kerus-kerusi Muslim’ di Sarawak… dakwaan seperti ini tidak sepatutnya timbul,” ujarnya.
Dakwaan itu juga disangkalkan oleh Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman pada Selasa lepas dengan menafikan kewujudan kerusi sedemikian dan kenyataan umum oleh Setiausaha PAS Negeri Saidin Massudin Sahim itu bukan petanda baik bagi rakyat Sarawak.
Menurutnya, istilah ‘kerusi Muslim’ tidak wujud dalam senario politik di Sarawak.
Sementara itu, Murugiah menjelaskan rakyat Malaysia terutamanya di Semenanjung harus melihat malah perlu mencontohi perpaduan di Sarawak yang disifatkan begitu baik tidak mengira suku kaum atau agama tetapi dapat hidup dengan aman dan harmoni.
“Jika sebelum ini bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir mempunyai dasar pandang ke timur untuk menggalakkan budaya kerja rakyat, saya mahu cakap bahawa untuk memupuk perpaduan maka kena pandang ke Sarawak,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

Powered by Blogger.
2010 Penilai Sebuyau | Themes by raycreationsindia | Blogger Template by Blogger Template Place | supported by Blogger Tools