Search This Blog

Loading...

BN Mampu Terus Kuasai Sarawak

0 comments


KUALA LUMPUR 17 Julai. – Walaupun keputusan pilihan raya kecil Sibu pada 16 Mei lepas mungkin menimbulkan keraguan sesetengah pihak tentang kemampuan Barisan Nasional (BN) mengekalkan pengaruh kuatnya di Sarawak seperti sebelum ini, tetapi tinjauan pendapat baru-baru ini menunjukkan bahawa rakyat Bumi Kenyalang tetap memberi sokongan padu kepada parti gabungan itu.
Tinjauan pendapat oleh Merdeka Center tentang nilai-nilai politik rakyat Malaysia menunjukkan bahawa 64.1 responden dari Sarawak membayangkan mereka terus menyokong BN.
Mengulas hasil tinjauan pendapat itu, Ketua Kajian Sains Politik, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Dr Faisal S. Hazis berkata BN secara berterusan memperoleh sekurang-kurangnya 55 peratus undi popular di negeri itu sejak 1974.
BN meraih 71.2 peratus undi popular pada pilihan raya 2001 dan walaupun sokongan ini merosot kepada 62.9 peratus pada 2006, tetapi jumlah undi yang diterimanya itu, tetap dianggap besar.
Tinjauan pendapat Merdeka Center itu bukan sahaja menunjukkan bahawa kebanyakan rakyat Sarawak terus menyokong BN, malah parti itu juga mencatat peningkatan undi popular sebanyak 1.1 peratus pada pilihan raya 2006.
Kata Faisal data pilihan raya 2006 menunjukkan bahawa hanya terdapat 12 kerusi marginal daripada sejumlah 71 kerusi yang wujud di Sarawak.

“Sekiranya lima peratus daripada jumlah undi beralih kepada Pembangkang, mereka hanya mendapat tambahan sebanyak lima kerusi. Peralihan 10 peratus undi pula akan memberi kepada mereka 12 kerusi lagi dan menjadikan 21 kerusi kesemuanya yang mereka kuasai di dewan undangan negeri,” kata beliau.
Untuk membolehkan Pembangkang menguasai 36 kerusi dan mengambil alih pentadbiran negeri, mereka perlu menarik peralihan undi sebanyak 20 peratus dan menurut Faizal, ini sesuatu “yang tak mungkin terjadi” pada pilihan raya akan datang.
Saiz dan rupa bumi Sarawak memberi cabaran kepada Pembangkang dalam usahanya untuk melebarkan pengaruh dalam kalangan pengundi kerana kawasan yang sederhana saiznya seperti Krian sahaja, sama luasnya dengan Singapura, manakala kawasan pilihan raya paling besar iaitu Belaga, sama saiznya dengan Pahang.
Beberapa jurukempen Pembangkang berkata urusan untuk membawa penyokong ke pusat pengundian pada hari mengundi sahaja memerlukan perbelanjaan sekurang-kurngnya antara RM40,000 dan RM50,000 di kawasan pilihan raya yang sederhana saiznya.
“Lagipun, kami tidak mempunyai sumber kewangan seperti BN untuk meliputi kawasan pilihan raya seluas itu. Tidak mudah untuk sampai ke kebanyakan tempat ini dan perjalanan ke sana pula memakan banyak masa. Sebab itulah BN selalu mempunyai kelebihan kerana ia memiliki sumber kewangan untuk menyewa helikopter untuk membolehkan calon mereka berkempen,” kata seorang jurukempen Pembangkang.
Kedudukan BN bagi kerusi luar bandar dan di kawasan bumiputera dikatakan terlalu kuat dan tidak mengizinkan Pembangkang mencapai banyak kejayaan besar. Hakikat ini diakui sendiri oleh Pembangkang.
“Kami perlu bersikap realistik. Bukan mudah untuk menyingkirkan BN kerana hampir separuh daripada 71 kawasan yang ditandingi terletak di luar bandar. Kalau kami bertandingpun, urusan berkempen merupakan suatu tugas yang sungguh berat untuk dilaksanakan. Keadaannya begitu berbeza dengan di semenanjung Malaysia,” kata Ketua Pemuda DAP Anthony Loke.
Malah, presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), yang juga Menteri Pembangunan Tanah negeri James Jemut Masing secara terbuka menyatakan bahawa Pembangkang tidak akan mampu meraih sokongan di kawasan luar bandar.
“BN akan terus kuat di kawasan luar bandar dan peralihan undi di kawasan bandar tidak akan menjejaskan kedudukan BN di Sarawak,” katanya.
Dengan kedudukan Parti Pesaka Bumiputra Bersatu (PBB) menguasai 35 kerusi negeri, PRS sembilan dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) lapan, hampir mustahil bagi Pembangkang untuk merampas dewan undangan negeri yang mempunyai 71 kerusi itu daripada BN, walaupun parti komponen BN seperti Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) ditakdir kalah kesemua 19 kerusi yang diperuntukkan kepadanya.
Pada pilihan raya negeri lepas, SUPP kalah lapan daripada 19 kerusi yang ditandinginya. Kebanyakan kerusi yang tidak menyebelahi mereka terletak di kawasan bandar, yang majoriti pengundinya terdiri daripada kaum Cina dan di kawasan yang mempunyai penduduk bercampur.
Bagaimanapun, parti itu terus menguasai kerusi di kawasan luar bandar, yang majoriti penduduknya terdiri daripada suku kaum Bidayuh dan Iban.
Sementara itu, penguasaan politik yang semakin lemah di beberapa kawasan bandar, kebanyakannya yang diperuntukkan kepada SUPP, menjadi kebimbangan utama BN memandangkan kerusi di kawasan bandar dianggap sebagai laluan terbaik bagi Pembangkang untuk menambah pengaruh mereka.
“Sekurang-kurangnya, bagi kerusi bandar, akan berlaku persaingan sengit. Kami yakin pengundi di kawasan bandar lebih berminat untuk mengundi kami,” kata Loke.
Hanya terdapat antara 12 dan 15 kerusi yang boleh dianggap sebagai kawasan bandar. Kerusi bandar yang sebahagian besar penduduknya adalah kaum Cina tidak sampai lapan kesemuanya. Selebihnya merupakan kawasan yang mempunyai penduduk bercampur, di mana sekurang-kurangnya, bumiputera berjumlah sepertiga daripada keseluruhan jumlah pengundi.
“Sebenarnya, jumlah kerusi yang 90 peratus pengundinya terdiri daripada kaum Cina adalah terlalu sedikit. Selebihnya merupakan kerusi yang mempunyai pengundi bercampur. Pada pendapat saya, SUPP masih mampu mengekalkan dua kerusi bandar — Piasau dan Bawang Assan,” kata penganalisis politik kelahiran Sarawak Prof James Chin.
Kerusi yang majoriti pengundinya terdiri daripada kaum Cina ialah Batu Lintang, Padungan, Pending, Bt Kawa (di Kuching), Piasau (Miri), Kidurong (Bintulu) dan Bukit Assek (Sibu), manakala kawasan yang dikatakan mempunyai jumlah pengundi Cina yang agak ramai ialah Pelawan, Bawang Assan, Kota Sentosa, Pujut, Meradong dan Repok.
“BN boleh menawan kembali kerusi Meradong sekiranya ia meletakkan calon yang kuat, tetapi secara umumnya, SUPP tetap menggalas tugas berat untuk menawan kembali sokongan pengundi Cina,” kata Chin.
Pengerusi DAP Sarawak Richard Wong Ho Leng berkata parti itu tidak akan memandang remeh keputusan kaji selidik Merdeka Center itu dan menyedari bahawa masih banyak tugas yang perlu dilaksanakan oleh DAP berhubung kerusi luar bandar.
“Bagi kerusi bandar, ada kemajuan yang dicapai kerana pengundi nampaknya agak responsif terhadap perubahan. Apa yang kami harapkan sekarang ialah pengundi Cina di kawasan bandar akan dapat mempengaruhi rakan mereka yang tinggal di luar bandar,” katanya.
Memandangkan penghijrahan penduduk dari luar bandar ke bandar dijangka mencapai 70 peratus dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang, Pembangkang berharap senario politik di Sarawak akan berubah.
Bagaimanapun, berdasarkan apa yang ada sekarang, BN mempunyai kelebihan dan akan terus berada dalam keadaan ini sekiranya ia menambah baik sistem penyampaian dan memenuhi janjinya kepada pengundi. – Bernama

0 comments:

Post a Comment

Powered by Blogger.
Loading...
There was an error in this gadget

Amazon MP3 Clips

2010 Penilai Sebuyau | Themes by raycreationsindia | Blogger Template by Blogger Template Place | supported by Blogger Tools